PARIS
Lama betul dah tak menulis. Post yang terakhir adalah 3 minggu yang lepas. Terpaksa mencari mood dan masa yang sesuai. Kini hampir genap 3 bulan kami melalui pengalaman tidak ternilai mengembara dibumi Eropah. Picture profile di page facebook saya menggambarkan seolah-olah saya tidak pulang-pulang ke Malaysia. Jika ada yang tidak senang hati mungkin mereka akan kata saya menunjuk-nunjuk kemewahan. Namun yang berfikir positif akan bertanyakan tentang itinerary kami termasuklah ketika berhari-raya tempohari. Walaupun makan masak sendiri, tidak dinafikan belanjanya tetap sangat berat. Murah jika dibandingkan travel agent. Bagi yang telahpun menyimpan sejumlah wang berdasarkan harga travel agent. Anda akan jimat hampir 40% jika mengikuti itinerary kami.
Kini tibalah giliran saya berkongsikan pengalaman di PARIS!
Bertolak jam 9.10 malam dari lapangan terbang Marco Polo Venice, Italy dan dijangka tiba pada jam 10.55 malam. Sepanjang perjalanan kami menggunakan penerbangan tambang murah EasyJet adalah pengalaman yang menggerunkan! Mungkin kerana cuaca yang kurang baik, pilot membuat beberapa kali penerbangan menjunam hingga saya terasa seperti menaiki roller coaster. Hanya memejamkan mata dan berdoa sekuat-kuat hati agar segeralah pesawat ini tiba dan mendarat dengan selamat.Alhamdulillah kami selamat mendarat di Paris tepat pada masanya. Ketika dalam bas transit ke bangunan lapangan terbang lagi sekumpulan remaja Italy kelihatan teruja tiba di PARIS. Bagi kami memang Paris adalah lokasi yang paling dinantikan. Malah rakan ofis kami pun sehingga hari ini akan sebut PARIS jika mengusik saya yang baru pulang bercuti. Paris memang sangat terkenal di Malaysia.
Perkongsian travelog pun memang mudah dicari di internet. Sungguhpun banyak masa habis untuk mengumpul maklumat tentang penggunaan Metro, tetapi saya masih belum faham cara penggunaan tiketnya yang memang pelik. Pengangkutan kami dari airport ke apartmentpun satu isu yang tidak dapat saya buat kata putus lebih awal kerana kami tiba di Paris dalam jam 11 malam. diberitakan jam 12 - 12.30 malam adalah waktu tamatnya perkhidmatan metro. Akhirnya kami membuat keputusan untuk mengambil teksi ke bandar. Tambangnya berharga Euro 55 (ikut meter) atau RM 200 lebih untuk perjalanan yang kurang setengah jam. Buat pengetahuan anda, Charles De Gaulle merupakan antara Lapangan Terbang yang mempunyai akses yang paling mudah untuk ke bandarayanya. Menghampiri pusat bandar, kami tercari-cari kelibat struktur menara yang paling terkenal di dunia itu.. Eiffel Tower. Lihat pada GPS Map sepatutnya sudah kelihatan. Akhirnya isteri saya dulu yang terperasan menara besi itu. Tu dia! punyalah besar, dah dekat baru ternampak. Seluruh struktur menara di limpahi cahaya kuning keemasan. Seperti tidak percaya kami telah menjejakkan kaki di sini.
Kami turun dihadapan sebuah bangunan apartment berdekatan dengan stesen metro Bir Hakiem. Stesen yang paling dekat lokasinya dengan menara Eiffel. Ya apartment kami sangat dekat dengan Eiffel Tower! Malah boleh melihat menara itu dari tingkap apartment kami. Kami menggunakan khidmat AirBNB untuk mendapatkan apartment persendirian ini. Segala urusan tempahan perlu diuruskan dengan pemilik property. Nama pemilik apartment studio ini Rihab. Rihab memang perlu mematuhi peraturan AirBNB agar pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan. Saya risau jika Rihab gagal dihubungi atau tidak muncul untuk memberikan kami kunci. Alhamdulillah Syukur semuanya berjalan lancar. Rihab memang menunggu kami di apartmentnya. Beliau menjemput kami naik ke atas dengan lift dan menunjukkan kemudahan-kemudahan yang ada di apartmentnya. Apartmentnya kecil sahaja tetapi cukup lengkap dengan kelengkapa memasak termasuk meja makan. Selesa untuk 4 orang dan yang paling memuaskan pemadangan Eiffel Tower. Kami sempat melihat menara itu menutup lampunya dan meninggalkan lampu yang berkelipan menyala bak berlian. Memang terpegun kami dibuatnya. Tiba masa untuk merehatkan badan. Esok akan bermula episod penjelajahan kami di Kota Paris!
No comments:
Post a Comment