Selamat Pagi PARIS!
Tarikhnya 14 Mei 2015, genap 3 bulan yang lalu. Terjaga dari tidur melihatkan pemandangan ini dari balkoni. Setelah masuk hari ke 11 mengembara ni, kami memang tidak langsung ada rasa tergesa-gesa untuk melengkapkan jadual. Jadual yang adapun sangat ringkas kerana tidak pasti dengan masa yang perlu diambil untuk sesebuah perjalanan. Biarkan sikecil mengambil peluang berehat secukupnya. Kami menyediakan sarapan sambil melihat keindahan menara Eiffel jelas kelihatan dari apartment tempat kami menginap untuk 3 malam.
Keluar dari apartment agak lewat. Rasanya dalam jam 9 pagi padahal dari jam 5 pagi saya telahpun bersidai dibalkoni menikmati pemandangan matahari terbit di bandaraya Paris. Dalam kembara ini semuanya yang kami lalui adalah pengalaman pertama dan ia sudah tentunya sangat manis dan mengujakan. Kami berjalan sedikit lebih kurang 200 meter untuk sampai ke kaki Eiffel Tower. Pelancong sudahpun memenuhi lorong-lorong untuk ke sana. Ketika berjalan ada pula remaja kulit putih menegur saya sama ada saya boleh berbahasa inggeris. Dengan pantas isteri saya menegur supaya jangan layan kerana memang ramai kelibat mereka yang memburu pelancong untuk mendapatkan tandatangan kononnya untuk menyokong misi kemanusiaan. Setelah selesai tandatangan mereka akan memaksa kita untuk membayar 20 Euro!
Nak naik atas? Saya ada terlihat sebuah keluarga mendaki tangga besi ini sambil menggendong anak kecil. Lihatpun saya dah tak sanggup. Kaki ni nak pakai untuk pergi ke banyak tempat lagi. Dengan barisan yang panjang seperti ular dipalu, tambah pula perlu ia perlu dibayar walaupun sekadar menggunakan kudrat sendiri untuk naik ke atas, lalu kami buat keputusan hanya mahu melihat struktur paling poplar didunia ini dari bawah. Saya melihat orang ramai beratur untuk menggunakan toilet. Itulah permulaan kesusahan saya sepanjang berada di Paris ini.. Susah nak jumpa toilet walaupun pun di stesen-stesen keretapi. Selain daripada itu menara ini memang memukau sesiapa sahaja. Malah apabila saya kembali ke Malaysiapun rakan pejabat akan menyebut PARIS untuk mengusik saya jika mereka cemburukan trip kami ini hehe. Berjalan dan duduk bersila di kawasan lapang Champ De Mars ini memang menjadi impian saya. Walaupun sudah tengahari namun cuaca tetap sama seperti pagi. Suhu memang yaman dan sejuknya tidak menyiksakan. Lebih 2 jam juga kami di sini meluangkan masa mengambil gambar sambil melihat gelagat pengunjung yang lain membuat pelbagai aksi semata-mata untuk diabadikan dalam kenangan.
CARNET METRO
Kami kemudiannya turun ke dataran sungai Seine sebelum kembali ke apartment untuk makan tengahari. Jam 2 petang tibalah masa yang dinanti-nanti. Saya memang tidak puas hati dengan maklumat yang saya ada tentang cara penggunaan tiket Metro. Memang tidak menyakinkan. Ramai rupanya terpaksa disekolahkan oleh penjaga kaunter tiket sebab sistemnya memang lain dari yang lain. Tiket Metro mereka panggil carnet. Kebiasaannya untuk jimat, kita perlukan 10 carnet untuk seorang. Nampaknya yayasyifa tidak dapat dikecualikan kali ini kerana gantrynya yang sukar melepasi 2 orang sekaligus. Satu carnet boleh digunakan untuk MANA-MANA perjalanan selagi destinasinya masih berada dalam zon carnet yang kita beli. Carnet hanya digunakan sekali iaitu ketika melalui gantry pertama iaitu ketika masuk. Untuk keluar carnet tidak diperlukan. Namun carnet jangan sekali-kali hilang sebab ada masa-masa tertentu pengurusan Metro memang benar-benar akan memeriksa seorang demi seorang ketika keluar. Elakkan dari melakukan perjalanan yang perlu menyambung train berbeza iaitu antara Metro dan RER. Jika tak boleh elak maka sediakanlah lebih daripada satu carnet untuk perjalanan tersebut..Kami kemudiannya menuju ke Arc De Triompe melalui stesen Etoile. Keluar sahaja dari stesen Metro itu struktur pintu gerbang gergasi yang sangat terkenal ini telahpun kelihatan. Bersambung...
No comments:
Post a Comment