Search This Blog

Saturday, May 23, 2015

Bahagian 2 : London - Switzerland - Vanice - Paris


London





Sudah 5 hari pun berlalu detik kami menjejakkan kaki ke tanah air mengakhiri perjalanan selama 2 minggu di benua Eropah. Alhamdulillah amat bersyukur semuanya selamat dan kami sempat untuk menyambung tugasan hakiki yang menjadi perantara rezki Allah untuk memakbulkan hajat kami ke bumi asing. Hajat sudah dipasang pula untuk ke negara-negara lain yang belum dijejaki apabila menyedari mengembara ke luar negara itu tidaklah sesukar mana dibuktikan melalui pengalaman sendiri. Walaupun ketika perancangan ada yang tidak yakin kami boleh lakukan kerana tiada pengalaman langsung (tidak pernah keluar negara melainkan Singapura) namun setelah berjaya kami berbesar hati apabila ramai yang memohon agar dapat di kongsikan itinerary perjalanan kami. Kami juga melalui fasa mengumpul maklumat seperti anda dan agak kecewa kerana maklumat yang tersedia di internet termasuk mereka yang berkongsikan pengalaman tidak cukup lengkap untuk bina keyakinan. Bukan ingin disuapkan satu persatu, cukup sekadar ilmu asas yang kukuh sebelum dapat berdikari mencipta laluan sendiri. 

Pada sesiapa yang sudah membaca posting pertama saya, saya sudahpun menyertakan itinerary ringkas trip kami. Posting kali ini saya berharap dapat kongsikan lebih terperinci pengalaman kami yang sebenar berbanding apa yang telah dirancang.


Dah compile baik punya.. 

Kami sekeluarga menetap di bandar industri yang progresif diselatan tanah air. Sepanjang 3 hingga 4 bulan sebelum tarikh perjalanan memang perasaan berdebar itu ada. Situasi cemas pun berlaku juga apabila tempahan kami di Hotel Caneva, Vanice, Itali dibatalkan kerana lambat respon email pemilik hotel. Mereka meminta kami menempah semula kerana gagal untuk update maklumat kredit kad yang mana mereka menolak penggunaan debit kad. Kami menggunakan Booking.com bagi beberapa hotel tempahan kami. Mudah kerana hanya perlu bayar apabila kami selamat sampai ke destinasi. Namun oleh kerana kami menghadapi masalah ini, pihak hotel meminta persetujuan kami untuk mengenakan bayaran terlebih dahulu. Tidak kisahlah, asalkan kami berjaya dapatkan semula tempahan bilik hotel yang dibatalkan kerana bukan mudah untuk dapat bilik family room tanpa berkongsi bilik air dengan harga bajet dikawasan tumpuan itu (Realto Bridge). Semenjak insiden mencemaskan itu saya akan pastikan sentiasa update dengan sebarang email tidak kira dari penyedia hotel mahupun pengangkutan sekiranya terdapat sebarang perubahan atau apapun masalah yang boleh menjejaskan kelancaran perjalanan kami. 

Apabila cukup 30 hari sebelum penerbangan EasyJet digunakan, iaitu perjalanan dari London ke Zurich, kami dibenarkan untuk melaksanakan urusan check in lebih awal setengah bulan berbanding Air Asia. Kami tidak membuat tempahan bagasi lebih awal sebab tidak pasti dengan berat bagasi yang mungkin akan digunakan untuk perjalanan itu. Kami sarankan untuk anda beli lebihan berat bagi bagasi lebih awal ketika urusan check in online yang sudah tentu lebih murah. Jika tidak pasti juga tentang berat bagasi yang mereka panggil "Hold Baggage" maka pasrahlah seperti kami dihadapan kauter nanti. Berbeza dengan Air Asia, kami beli berat check in baggage berharga RM 60 ringgit sehala untuk 30 KG bagi perjalanan antara Senai dan KLIA2. Itupun atas nasihat akak saya. Maklumlah sebelum ini jika naik flight kami sekadar cukupkan keperluan dengan kabin baggage sahaja. Jimat. Namun untuk perjalanan selama 2 minggu siap pelbagai jenis makanan segera diangkut sekali maka memang tidak boleh larilah. Hal check in baggage ini memang menghantui setiap traveler. Tentang apa yang mereka akan bawa, apa yang mereka akan beli, keupayaan mereka untuk mengangkut segala bag hingga ke pintu hotel. Mengangkut sebesar-besar dan seberat-berat bag di stesen TUBE London yang tidak mempunyai eskalator mahupun lift (bagi sesetengah stesen sahaja) dan  tangga-tangga yang perlu didaki untuk melepasi banyak jambatan pelbagai terusan (canal) di pulau Vanice, Itali. Dalam keluarga saya maka sayalah satu-satunya "badang" yang diharapkan untuk memikul segala khazanah selama 2 minggu perjalanan. Carilah beg yang "meyakinkan".. Maksud saya, anda perlu berbelanja besar untuk dapatkan beg yang baik kerana saya telah terima padahnya apabila satu dari tayar beg murah saya patah seawal perjalanan hari pertama kami tiba di London. Tak boleh nak salahkan MAS sebab beg tersebut akhirnya rosak ke empat-empat tayar setibanya kami di Zurich. Allah saja yang tahu betapa azabnya saya ketika itu.

Ini saja beg kami..


Sebulan sebelum terbang juga saya sudah mendapatkan pengesahan dari MAS tentang keperluan bayi kami untuk kemudahan cabin bassinet. Mereka pun seterusnya dengan perkhidmatan kelas tersendirinya memberikan kami peluang untuk memilih tenpat duduk tanpa sebarang charge tambahan.. Al maklumlah selama ini naik Air Asia tempat duduk pun mereka berkira. Bagasi pun tak perlu risau kerana MAS benarkan setiap penumpang secara terkumpul atau setiap seorang jumlah berat yang cukup besar asalkan setiap beg tidak melebihi standard berat bagi satu beg dalam mana-mana penerbangan di dunia iaitu tidak boleh melebihi 32 KG. Ketika di airport kami terpaksa memindahkan sedikit barangan ke beg lain kerana terlebih 2 KG dari berat yang dibenarkan.

Kami bermalam di Tune Hotel sehari sebelum perjalanan apabila rancangan awal ingin menggunakan KTM (Keretapi Tanah Melayu) senandung malam terbantut apabila petugas kaunter KTM sendiri menasihatkan saya agar pergi lebih awal dan jangan berharap perkhidmatan KTM akan tiada masalah kelewatan. Sekiranya ia berlaku maka leburlah segala perbelanjaan dan perancangan kami itu. Nampaknya setakat itu sahajalah tahap kualiti perkhidmatan KTM yang mana kakitangannya sendiri tidak yakin dengan perkhidmatan yang diberi. Namun saya tetap menghargai nasihat beliau dan memang ada benar juga kata-katanya. Soal pelaburan besar ini sikap kita perlu diperbetulkan. Displin itu perlu agar mengelakkan diri kita sendiri yang rugi.Ketika itu kita tidak boleh salahkan orang lain kerana diri sendiri yang silap kerana gagal mengambil langkah lebih berhati-hati dalam mengambil keputusan tertentu sepanjang perjalanan. Itu baru di Malaysia.. Dah dapat satu pelajaran yang akan diguna pakai di sepanjang perjalanan. Al maklumlah datang kerja dan balik dari rehat pun  selalu lewat..Jadi tabiat itu perlu dibuang segera untuk elakkan kesusahan kita dan keluarga kita sendiri.

Antara 2 menara kawalan..


Apabila kami sampai di KLIA 2 pun dah seronok. Mengambil kesempatan membeli-belah sedikit pakaian semetara ada promosi di FOS pada malam itu dan bersiap mengemas bag buat kali terakhir sebelum bertolak pada awal pagi esoknya. Seawal jam 7 pagi kami telah menyeret beg besar keluar dari hotel. Ada dua beg sandang belakang dan satu lagi beg balik kampung saiz sederhana. Kesemuanya boleh dilipat jika tidak digunakan. Tapi sayang memang kesemua bag itu sentiasa penuh sepanjang perjalanan. Separuh bag kami dipenuhi dengan makanan segera dimakan lebih kurang 23 peket lauk ayam atau daging kari dan rendang, 6 peket ketupat segera saiz besar dan 2 KG beras bersama priuk nasi elektrik kecil. Spaghetti dengan 2 tin sos carbonara, kicap dan lain2 utensil seperti pisau, pinggan dan bekas kedap udara. Sleeping bag pun kami siap dengan alat pengering baju yang kami beli online. Adapter untuk europe pun kami bawa (sangat penting) dan penimbang bag digital yang memang sentiasa kami gunakan, timbang siap-siap di hotel untuk mengelak aktiviti pembongkaran bag di airport. Tikar berkelah pun kami bawa! yang akhirnya hanya pakai 2 kali saja sepanjang perjalanan. Pempers... Pempers ada dimana-mana kami selit, selagi terdapat ruang kosong kami akan selitkan! Lihatlah betapa parahnya penyediaan barang-barang untuk dibawa. Namun untuk penyediaan makanan tidak dapat di elakkan kerana ia adalah masalah besar kita dan sangat membantu untuk mengurangkan keseluruhan kos perjalanan.


A 380


Kami check in 2 bagasi kami di kaunter pengendalian khas MAS KLIA (kerana ada baby) seawal 7.30 pagi 5 mei, tarikh yang dinanti-nanti sekian lama. Bersarapan dulu sebelum bergerak masuk ke dalam gate departure. Itulah kami pertama kami laluinya. Sebelum ini hanya lihat orang lain saja turun melalui eskalator di gate itu untuk pelepasan ke luar negara. Hati semakin berdebar apabila sampai ke ruangan khas untuk menaiki pesawat Airbus A 380 yang tersangatlah besar itu. Macam-macam rasa dalam hati namun tetap kami mulakan perjalanan sulung ini dengan doa sepenuh hati agar dipermudahkan segara urusan dan dilancarkan perjalanan. Rasa seronok saling bertukar ganti dengan rasa risau kerana tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga kini semakin terasa beratnya. Saudara mara rakan taulan semua jauh akan ditinggalkan. Berlepas lah kami dengan pesawat itu tepat jam 9.50 pagi. Perjalanan selama 13 jam itu dijangka tiba lebih kurang jam 4.20 petang waktu UK berbanding jam 11 malam waktu Malaysia. Tak tahulah sama ada kami larat ke tidak untuk mengheret beg menggunakan TUBE hingga kepintu hotel nanti. Cuba lelapkan mata tetapi memang susah. Yayasyifa anak dara saya tu faham-fahamlah.. Tonton filem kartun sambung menyambung. Puas nasihat dia tidur tetapi diri sendiri pun gagal lelapkan mata. Baby Iman Alhamdulillah tidak meragam. Cuma bassinet tidak berapa digunakan kerana dia tak selesa. Berkenalan dengan seorang pakcik bernama Abu yang menyertai sekumpulan 60 orang warga emas yang dibawa oleh seorang ustaz pusing europe seperti kami. Katanya Ustaz itu sebelum ini hanya bawa orang pergi umrah saja. Dasyat ustaz sekarang buat bisnes uruskan travel group hingga ke benua eropah. Yelah makcik pakcik ada banyak masa lapang, duit simpanan pun banyak. Apa lagikan.. RM 4k seorang tidak termasuk makan.. Boleh tahan murah. Makanan yang disediakan dalam penerbangan MAS memang lazat-lazat belaka. Oleh kerana Yayasyifa memang jenis yang cerewet maka sayalah orangnya yang menghabiskan hidangan untuknya.

Layan karton berjam jam


Mana nak cari hidangan ni kat luar?





Bagi yang belum tahu tentang syarat imigresen di UK, Malaysia antara negara yang dikecualikan dari keperluan visa untuk memasuki negara itu. Dan ia juga bermakna visa juga tidak diperlukan disetiap negara dalam kumpulan negara-negara EU. Setibanya kami di Lapangan Terbang Heathrow London, disambut oleh pegawai imigresen mereka yang duduk didalam kaunter-kaunter kecil tidak sepadan dengan badan-badan mereka yang sangat besar. Suara pegawai yang memanggil kami satu persatu dengan nada yang tinggi menggerunkan kami.. Risau sebab pernah terjadi teman saya yang juga anggota kumpulan Nasyid In-Team di arah pulang segera ke Malaysia kerana diragui mereka kononnya mahu berhijrah ke UK (tidak pulang-pulang ke Malaysia).. Sebab itu penyediaan itinerary lengkap dengan segala slip booking dan boarding pass itu penting sebagai bukti. "Why are you here?" garang betul mat negro ni tanya.. dah tergugup. Mujur isteri saya tolong jawabkan. "Vacation".. Kami kemudiannya mencari dimana terletaknya stesen TUBE. Terlihat tanda arah ke train Heathrow express yang saya tahu harganya berlipat kali ganda mahalnya. Untuk stesen TUBE perlu ambil lift ke level underground. Hilanglah semua makcik pakcik tadi.. Kami  sekeluarga dan 3 orang remaja  melayu mungkin masih bersekolah kelihatan seperti sudah biasa guna TUBE.



Saya beratur di kaunter untuk membeli Oyster Card. Ketika di kaunter, sekadar untuk dapatkan pengesahan saya bertanyakan tentang capping 8 pound charge for a day use. Maknanya setelah charge terhadap Oyster card mencecah 8 pound maka tiada lagi charge akan dikenakan untuk penggunaan perkhidmatan TUBE pada hari itu. Memang jimatkan.. Sombongnya orang dikaunter itu melayan pertanyaan saya seperti saya ini cukup menyusahkannya. 5 pound sebagai deposit untuk card yang mana boleh di tuntut sekiranya kita tidak lagi mahukannya. Jika mahu jadikan ia cendrahati maka tak perlu pulangkan. nilai selebihnya terpulang kepada kita. Saya isi saja 20 pound setiap satu. Untuk saya dan Isteri. Anak tak perlu Oyster Card, tetapi perlu kene caranya untuk melepas gantri stesen jangan sampai tersepit. Jalanlah seiring. Jangan jalan berturutan dengan anak. Beberapa kali juga saya dan isteri tersepit kerana lambat.

Tengok tu tayar beg made in China dah patah.. Beg dah condong macam menara Pisa..


Macam Lady Gaga la pulak..



Kejutan budaya.. Ya dalam TUBE semua orang lihat kita macam alien. Kita pun terhairan-hairan lihat orang UK yang besar-besar badannya dengan pelbagai rupa dan gaya. Ketika itu belum lagi rasa betapa sejuknya cuaca di luar sana. Setiap kali penumpang keluar masuk kami memerhatikan betapa orang sini rupanya tidak tahan sejuk juga apabila kebanyakkan mereka mengenakan jeket yang tebal-tebal belaka. Kapten ketika dalam flight tadi ada sebut cuaca disini adalah sekitar 15 darjah celsius. Semua sedia maklum bulan Mei ialah musim Spring di Eropah.

Kami menukar stesen di Green Park dari  Piccadilly line ke Victoria line (Northbound) yang mana penghujung stesennya adalah Walthamstow Central, terletaknya hotel untuk kami menginap selama 2 malam. Dari dalam stesen Green Park lagi kami sudah merasa asakkan angin sejuk tetapi hanya seketika. Apabila tiba di Walthamstow barulah kami berpeluang keluar dari stesen sambil mengheret beg besar menaiki tangga. Hilang penat seketika apabila deruan angin kuat dengan kesejukan yang bisa saja mengeraskan sendi tulang. Yayasyifa walaupun dah pakai jeket tebal sudah menangis sebab kesejukan yang amat hingga rasa seperti terlalu menyiksakan. Nasib baik hotel kami memang betul-betul bersebelahan stesen TUBE itu, maka selamatlah kami untuk berehat setelah hampir 24 jam tidak melelapkan mata...







Bagi yang pertama kali menggunakan TUBE ni sebenar tidaklah sesukar mana. Sama saja seperti yang ada di Malaysia atau Singapura. Cuma jangan hiraukan sangat seliratnya pelbagai line. Hanya tumpukan kepada line yang akan membawa kita ke destinasi yang diinginkan. Ambil perhatian bagi setiap pengumuman kerana mungkin akan ada kerja-kerja baik pulih dijalankan yang menyebabkan anda terpaksa menukar train atau menggunakan bas gantian. Bahasa mereka jelas dan mudah difahami. Cuma mungkin kita sedikit mengambil masa untuk mendapatkan train sambungan di stesen intersaction. Perlu sabar mengikuti setiap tanda arah. Jika mereka umumkan "This is the step-less station" maknanya anda mungkin boleh mendapatkan lift atau eskalator jika bersama anda ada beg besar ataupun stroller.  Maklumat lain yang mungkin anda perlukan selain TUBE map ini bolehlah didapatkan melalui link MAPaPLAN seperti link yang saya sediakan di akhir posting ini.
























Cont...

No comments:

Post a Comment