Search This Blog

Monday, June 8, 2015

Bahagian 8 : London - Switzerland - Vanice - Paris


Masih lagi dihari ke-4 pengembaraan dan hari yang ke-2 di Switzerland. Sehari di sini terpaksa guna 3 post di blog. Memang banyak cerita di Swiss nih. Gambar pun banyak untuk dikongsikan. Memang istimewanya Swiss tidak ada pada negara-negara lain yang saya lawati.

PENGARUH BINTANG

Jam menunjukkan hampir 7 petang. Masih petang sebab hari masih terang. Tetapi dalam masa sejam lagi hari akan mulai gelap. 2 jam setengah menaiki boat tadi memang terlalu lama dan tidak sesuai bagi trip kami yang singkat di sini. Namun nak merasa naik boat dan mahu menghayati keindahan suasana tasik Luzern seperti yang selalu diperkatakan orang kami ambil juga peluang itu. Jam 7.05 bermulalah perjalanan kami ke Lauterbrunnen. Kawasan yang jauh tercorok di pedalaman Swiss. Traveler yang mahu ke Jungfraupun kebanyakannya akan mengambil train dari Interlaken. Interlaken? Ya nama tempat ini kami sudah dok sebut-sebut sekian lama dari Malaysia lagi. Ini semua gara-gara drama siri "CINTA JANGAN PERGI" lakonan hebat Tiz Zakiah dan Remy Ishak. 





Betul-betul kuat pengaruh drama itu hingga membawa kami ke sini. Jangan kata kami sahaja yang mudah terpengaruh dengan drama, Kesan pengaruh filem HINDUSTAN yang menjadikan Swiss sebagai lokasi pun amat kuat. Di mana-mana saja kelihatan pelancong India di Swiss, Mereka telah bertapak lebih lama dengan kewujudan banyak restoran makanan India malah kedai orang swiss pun ada sediakan makanan India. Ada juga wartawan akhbar tulis tentang kewujudan kedai makan orang Malaysia di Zurich. Elokla dengan perkembangan ini, memang orang Malaysia saban hari semakin ramai mampu untuk menjejakkan kaki ke Switzerland. Antara filem paling lagenda yang menyebabkan Switzerland dibanjiri pelancong India ialah filem bertajuk "dilwale dulania ley janghe". Video clip lagu OST filem itu mengambil beberapa lokasi indah di Switzerland. 





Baik! Kembali sudah ke dalam train untuk perjalanan kami ke Lauterbrunnen. Melalui jadual perjalanan yang telah dibekalkan oleh pegawai kaunter SBB sebelum ini, kami akan membuat pertukaran train di stesen Interlaken sebelum menaiki satu lagi train ke Lauterbrunnen. 2 jam perjalanan untuk sampai ke Interlaken. Hari sudah semakin gelap, namun ketika inilah pemandangan lembah dan tasik berlatarbelakangkan pergunungan Alps silih berganti seakan perjalanan kami ke Interlaken ini sebuah bilik pameran yang sangat besar disusun dengan begitu rapi agar mata kami terbeliak dan mulut kami terlopong! Malah perjalanan antara Luzern dan Interlaken ini dijadikan favorite untuk mereka yang berhajat melihat keindahan Switzerland. 






























Gambar-gambar ini kami ambil apabila hari sudah hampir gelap. Niat dihati mahu singgah di stesen yang betul-betul di sebelah tasik menghadap ke pergunungan dilitupi salji.. Tapi sayang.. Masa mencemburui kami. Tibanya kami di Interlaken hari sudahpun gelap gelita. hilang sudah semua pemandangan indah tadi.. Indahnya bumi Swiss tidak bermakna tanpa limpahan sinaran mentari. dengan masa kurang 7 minit kami bergegas mengangkat beg dan mencari train yang sedia menunggu untuk membawa kami ke lokasi terakhir sebelum beradu. Di dalam train yang kelihatan seperti berada di zaman lampau ini ada juga keluarga mat salleh yang tertanya-tanya ke mana kami mahu pergi.. Saya jawab "Lauterbrunnen".. Mereka keluar kembali dan entah kurang seminit mereka masuk kembali. Ketika dalam perjalanan tiba-tiba ada pengumuman mengatakan train ini akan menuju ke Gimmewald. kepada mereka yang mahu ke Lauterbrunnen sila turun ke stesen Zweilutschnen. Hemm apa lagi, kami pun bangkit dan bersedia untuk keluar. Namun setelah berhenti seketika tanpa pintu train terbuka.. train itu meneruskan perjalanan. Kami dah mula panik dan menantikan pula apa pengumuman untuk stesen seterusnya. Lutschental! Nah ambik kau! Saya sudah terbayang anak isteri saya terpaksa bermalam di stesen keretapi yang sunyi sepi ini. Tetap fokus mencari penyelesaian. Turun dari train saya mendapatkan seseorang untuk bertanya. Wanita kulit putih ini dengan ramah sekali menunjukkan dimana letaknya jadual train bagi stesen ini siap bacakan sekali kepada kami jam berapa train untuk ke Interlaken boleh kami ambil. Itu dia! lagi 20 minit train yang sama akan kembali dan ia adalah train ke 2 terakhir untuk malam itu. Syukur Alhamdulillah! lega hati saya. 

Keadaan stesen kecil Lutchental ini sangatlah gelap. Yayasyifa yang sudah terlelap dari tadi enggan keluar stesen kerana terlalu sejuk. Dari jauh nampaklah sinar harapan kami. Train menghampiri stesen dari arah atas bukit melalui laluan seperti ular di palu. " They have a Swiss Pass?" , Soalan dari conductor wanita kulit hitam kepada penjaga stesen. Kami tidak perlu membeli tiket untuk kembali ke Zweilutschnen, malah kami boleh terus duduk di dalam train kerana train yang sama juga akan ke Lauterbrunnen. Ya inilah gunanya Swiss Pass. Maka tersandarlah kami kelegaan. Dalam keadaan itu saya masih cuba fokus mendengar pengumuman. Ketika train berpatah balik dari Interlaken dan melalui Zweilutschnen, barulah saya tersedar bahawa ada pengumuman meminta mereka yang mahu turun train untuk menekan butang di pintu. "TRAIN STOP ON REQUEST".  Alhamdulillah, sampai kami ke Lauterbrunnen dengan selamat. Hanya bunyi roda beg sahaja yang kedengaran... Menumpang cahaya samar-samar lampu jalan sambil mendaki jalan untuk ke hotel yang terletak di atas bukit. Tidak jauh hotel ini.. Pemilik hotel sudah tinggalkan kunci bersama nama tertera di sekeping kertas. Di sepitkan ia pada tali sama seperti kertas pesanan masakan panas untuk menunggu giliran di restoran Tomyam di Malaysia!... 




















Bersambung....!!!

No comments:

Post a Comment